Sunday, December 21, 2008

KAK PORA KOMEN MELODI

Berikut adalah komen Kak Pora dalam akhbar sisipan Bi-Pop Ahad 21hb Disember 2008. Apa komen kekawan semua mengenai paparan ini?. Sila kemukakan komen anda :


Wartawan Melodi perlekeh polis

TERSEDAK Kak Pora ketika makan tengah hari sambil menonton Melodi, Ahad lalu. Mana tidaknya! Terkejut Kak Pora melihat aksi wartawannya, Michelle Wee, seolah-olah nak mempersendakan tugas polis ketika menemubual pelakon Diana Danielle berhubung kesnya dikasari buah hatinya, Syamsul Yusof, dalam satu kejadian di rumahnya akhir bulan lalu.

Apa yang Kak Pora nampak, Michelle cuba menggunakan Diana untuk membidas polis kerana kononnya membocorkan maklumat kepada media berhubung laporan yang dibuat pelakon remaja itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berhubung insiden berkenaan.

Apakah Michelle sedar setiap laporan polis diklasifikasikan sebagai maklumat sulit, terutama membabitkan kes berprofil tinggi, malah mana-mana pihak yang membocorkannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Setahu Kak Pora, laporan media sebelum ini tidak menyatakan secara terperinci butiran laporan dibuat pelakon remaja itu, sebaliknya cuma pengesahan bahawa polis sudah menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.


Walaupun Kak Pora menulis dalam ruangan hiburan terutama untuk B*Pop, tetapi ada pengalaman juga masa muda dulu membuat laporan berita jenayah. Tahu jugalah Kak Pora selok-belok tugasan sebagai wartawan jenayah. Sepanjang pengalaman Kak Pora, memang susah mahu mendapatkan maklumat daripada polis, kecuali ada kenyataan rasmi atau sidang media, lebih-lebih lagi membabitkan kes berprofil tinggi. Bukan polis boleh suka-suka beri maklumat!
Kalau dapat berita eksklusif, itu rezeki masing-masinglah. Ini bergantung kepada inisiatif seseorang wartawan jenayah, termasuk hubungan baiknya dengan mana-mana pegawai polis yang menjadi sumber maklumatnya.

Kak Pora tidak tahulah mengapa Michelle bertindak sedemikian rupa.

Lebih mengecewakan, turut berada bersamanya ketika menemuramah Diana pada majlis pembukaan cawangan baru Lord’s Tailor di Bangsar adalah penerbitnya, Nas Ahmad, seorang wartawan senior yang sepatutnya membimbing Michelle. Michelle dan Nas sendiri sepatutnya menyedari betapa besarnya implikasi tindakan mereka memperlekehkan kredibiliti polis kepada masyarakat.

Kak Pora sedar kontroversi ini penting dalam menaikkan rating tetapi biarlah kontroversi itu bersifat membina, bukannya kontroversi `bodoh’ yang akhirnya menyebabkan masyarakat jadi keliru dan rosak.

http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/Sunday/JelingKakPora/20081221055833/Article/index_html

* Saya akan jelaskan kedudukan sebenar selepas anda semua kemukakan komen anda.



Thursday, December 18, 2008

MEMORI LONDON

Setakat ni dah 2 kali gi London, pertama masa buat liputan Festival Filem Malaysia, dan yg ni....liputan Konsert Siti Nurhaliza kat Royal Albert Hall. Utk kali ke 2 ni seminggu kat sana. Best?. Dah tentu!. I love London. Tapi duitnya......7 kali ganda dari duit kita. Mahal ooo!!














































Sunday, December 14, 2008

Buku 'Terjah' di pasaran!



Category:Books
Genre: Biographies & Memoirs
Author:Nas Ahmad
Berikut petikan 1 chapter dari buku 'TERJAH!! NAS AHMAD'. Dapatkan di kedai buku berhampiran anda, atau pesan terus dari Alaf 21 Sdn Bhd. Hanya RM8 senaskah.

TUHAN LEBIH MENYAYANGI DIA

Takdir menentukan segalanya.

Ketika tamat tingkatan lima, ketika baru sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kedudukan ekonomi keluarga saya tambah sempit. Ini memaksa ayah membuat keputusan untuk menyambung persekolah hanya salah seorang sahaja dari kami, samaada saya atau adik saya Shahrir.

Malam itu malam terakhir Ramadhan. Esok Aidilfitri bakal menjelang. Kami duduk beramai menghadap TV. Di saat itu ayah menyatakan perkara ini kepada saya. Shahrir juga ada di sisi saya di samping dua kakak dan salah seorang dari abang saya. Di ruang tamu itu ayah menyampaikan perkara ini dalam nada suara yang agak keberatan. Saya faham keadaannya ketika itu. Besar hajatnya untuk menyempurnakan persekolahan kesemua anak-anaknya hingga benar berjaya tapi apakan daya?. Dalam nada suara yang agak keberatan, dia meminta saya fikirkan samaada mahu terus bersekolah dan Shahrir berhenti atau saya berhenti dan Shahrir terus bersekolah.

Amat berat bagi saya untuk membuat keputusan, malah saya terasa benci menghadapi saat serba salah seperti itu. Kenapalah saya perlu menghadapi saat ini?, apa dosa saya sehingga menerima keadaan begini?.

Dua kali soalan ayah tidak dapat saya jawab, hanya termanggu. Lalu ayah bertanya buat kali ketiga tentang keputusan saya samaada setuju atau sebaliknya. Dengan rasa yang amat berat saya terpaksa mengalah. Saya bersetuju untuk tidak menyambung persekolahan. Ya, saya bersetuju untuk berhenti sekolah demi untuk memberi peluang kepada Shahrir terus bersekolah.

Di saat saya mengatakan “setuju’, hanya tuhan yang tahu betapa saya merasa kesal. Bukan kesal kerana terpaksa mengalah, tapi kesal kerana menghadapi keadaan itu. Bagaimana dengan cita-cita saya?, bagaimana dengan masa depan saya?, cukupkah dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk saya menempuh hidup penuh cabaran di masa depan?. Suatu yang pasti, cita-cita saya hancur berkecai!. Impian untuk menjadi seorang wartawan ternyata hanya tinggal angan-angan kosong. Dengan hanya berbekalkan Sijil S.P.M, saya hanya layak menjadi pekerja kilang selamanya, atau beberapa kerjaya lain yang sememangnya bukan saya cita-citakan. Bagaimana mampu saya melakukan kerja yang sebenarnya bukan saya minati?.

Senyuman terukir di bibir saya, senyuman plastik, yang hanya dimengerti oleh orang tertentu. Kalaupun senyuman itu ikhlas, hanya ikhlas kerana dapat berkorban kepada Shahrir agar terus menyambung persekolahannya ke tingkatan lima.

Sejurus habis perbincangan itu, saya masuk ke bilik. Pintu bilik saya kunci dari dalam. Saya menerpa ke katil. Memang saya hampa tapi sama sekali tiada rasa kesal. Memang saya sebak, tapi samasekali saya tidak akan menangis. Anak jantan tak boleh menangis, anak jantan tabah hadapi semua dugaan. Ayah pernah berkata airmata lelaki adalah mahal!, tidak akan mudah mengalir sewenangnya.

Di sudut katil itu saya melawan perasaan. Ketabahan saya terasa goyah, namun saya gagahkan dengan kesabaran. Oh tuhan, berikanlah ku kekuatan untuk menghadapi situasi ini.

Tapi apakan daya, saya juga insan biasa yang punya hati dan perasaan. Di saat saya terkapar bertarung dengan perasaan, tiba-tiba seruan takbir raya bergema dari surau berdekatan…..

Siapalah saya?. Di ketika itulah ketabahan tidak bererti lagi. Air mata terbit dan terus berlinang. Saya gagal!, sama sekali gagal menghadapi keadaan. Tangisan mematahkan tembok kesabaran bagaikan banjir yang melanda kampung dengan tiba-tiba. Pada siapa harus saya mengadu?. Tiada siapa dapat menolong di saat getir begitu. Tiada siapa berada di sisi untuk mententeramkan saya. Tiada siapa tahu betapa remuknya hati saya ketika itu. Hanya sekujur tubuh terdampar di kamar sendirian, dan kelemasan. Oh tuhan, berikanlah ku kesabaran.

Dicelah saat pilu ini, kiranya masih ada ruang untuk sebuah azam. Ya, saya perlu bangkit. Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang hambanya kecuali ia bangkit berusaha mengubahnya sendiri. Memang pada hakikatnya saya hanya punyai sijil S.P.M, tapi itu bukan penghalang untuk saya teruskan cita-cita. Saya perlu berusaha walau cara apa pun. Bangun Nas Ahmad!, sesungguhnya simpati dari siapa pun tidak mungkin mampu mengubah keadaan.

Tahun silih berganti. Syukur alhamdulillah kerana Shahrir mendapat keputusan memuaskan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Dia diterima menyambung pengajian di peringkat universiti!. Shahrir meminati bidang rekabentuk grafik binaan, lalu dia memilih untuk menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia. Kami sekeluarga tumpang gembira dengan pencapaiannya itu.

Tiga tahun lamanya dia menamatkan pengajian di menara gading dan kini berada di tahun akhir. Ketika cuti semesta terakhir Shahrir pulang sebentar ke Johor Bahru. Saya ketika itu bekerja sementara di Kilang Yeo’s dan tinggal berasingan dari keluarga. Kerana kesibukan kerja saya masih belum berkesempatan menemuinya walau sudah 2 minggu dia di JB.

Malam itu saya didatangi suatu mimpi aneh. Saya dalam keadaan nazak dan dikelilingi oleh kaum keluarga dan sanak saudara. Dalam linangan airmata saya merayu kepada ayah mahu terus hidup. Saya tidak mahu mati, masih banyak yang belum sempat saya laksanakan sepanjang hayat. Berilah peluang saya untuk terus hidup. Ayah dan semua yang ada di situ tidak terkata apa, hanya mengangguk kepala dengan airmata membasahi pipi.

Sejurus itu saya tersedar. YA ALLAH!…….. Saya termenung seketika dalam keadaan berbaring di katil. Bola mata tertumpu merenung siling kamar. “Astagafirullah, cuma bermimpi” kata hati saya.

Pagi esoknya bagai pagi biasa, tiada apa yang istimewa hari itu. Rutin seharian tetap sama – pergi kerja dan balik rumah sebelah petang. Hari yang sama ketika sedang menikmati makan malam tiba-tiba pintu rumah diketuk. Kedengaran suara memberi salam. Saya kenal pasti suara itu, suara kakak saya.

Pintu dibuka, kakak masuk dalam raut wajah yang sugul.

Kenapa?.

“Shahrir dah tak ada……” katanya perlahan.

Ya ALLAH!!.

“…..meninggal dunia petang tadi” sambungnya.

Panik!. Saya terduduk mendengar berita itu. Inikah petanda yang saya terima dalam mimpi malam tadi?.

Kenapa?.

Kakak menceritakan Shahrir keluar bersama kawan-kawannya petang tadi. Dia menaiki van beramai ke tempat kerja di Segamat (dia bekerja sementara ketika itu). Dalam perjalanan menuju ke sana van yang di naiki telah terbabas. Pintu sisi van terbuka dan Shahrir yang kebetulan duduk di tepi pintu telah tercampak keluar, berguling-guling di gaung, lalu dadanya terhentak pada sebatang pokok.

Seimbas pandang pada fizikalnya tiada apa kesan parah, cuma sedikit calar pada bahagian dada. Bagaimanapun ketika ambulan yang membawanya ke Hospital Segamat tiba, pembantu hospital yang mengangkat tubuhnya yang terbaring di stracher seolah sudah dapat menjangkakan sesuatu.

Menurut pembantu hospital itu dia sempat berpesan kepada Shahrir agar banyakkan mengucap sementara rawatan dijalankan. Lebih kurang satu jam setengah ketika pihak hospital menjalankan rawatan kecemasan ke atasnya, Shahrir dikatakan sempat beberapa kali mengucap sehinggalah akhirnya matanya terpejam lalu…..dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ketika saya tiba di rumah famili kami jenazah Shahrir telah terbujur kaku diselimuti kain. Saya membuka bahagian penutup kepala, wajahnya saya tenung. Linangan airmata tidak tertahan lagi.

Mahu rasanya saya meraung sekuat hati…..

…tapi tuhan lebih menyayangi dia……

(Petikan dari buku ‘TERJAH!! NAS AHMAD’ terbitan ALAF 21 SDN.BHD). Sila dapatkan di pasaran, atau buat pesanan melalui www.alaf21.com.my.


HURAIAN LIRIK LAGU 'TERJAH'

LAGU : TERJAH
CIPTAAN : EDRIE HASHIM
LIRIK : NAS AHMAD
NYANYIAN : AMY (SEARCH)
ALBUM : TERJAH
TERBITAN & EDARAN : NSR


GERAK GERI SI ABANG RAMBUT KERTAK

Nama jolokan 'Abg Rambut Kertak' utk nama saya Nas Ahmad dicipta oleh Aznil Nawawi semasa dia mengacarakan Melodi suatu ketika dulu.
Hakikatnya dalam Melodi, selain dari gerak geri artis, gerak geri saya pun jadi perhatian / tumpuan ramai. Kajian menunjukkan ada yang menonton Melodi kerana minat pada segmen 'Terjah'. Mereka sentiasa tertunggu-tunggu segmen itu (walau segmen 'Terjah' bukan muncul pada tiap minggu).

IKAT KEPALA, IKAT NADI BUKAN GILA

Dah jadi identiti saya...IKAT KEPALA (sentiasa pakai topi) dan IKAT NADI (pakai jam bertali besar). Walau apa pun tanggapan orang, tapi itu adalah saya, dan saya tetap saya.

ANGKAT SENJATA TERHUMBAN MASUK LONGKANG

Saya juga bencikan peperangan / pergaduhan. Kalau diberikan apa saja jenis senjata kepada saya, saya akan humbankannya ke longkang.

BAZOOKA PENAKA MELEDAK DALAM JIWA

'Bazooka' adalah sejenis senjata, 'Penaka' adalah sasaran. Senjata untuk saya berjuang dalam kehidupan / dalam menegakkan visi adalah dari dalam diri.

TAK PERLU GAGAH PERKASA,
DIAM, LEBIH BERBISA.

Bertindak dalam diam adalah senjata paling berkesan.

KEPALA PECAH DUNIA

Semangat / visi / usaha dalam mencetuskan kelainan / pembaharuan yang lebih kreatif. Dalam bidang (dunia) apa?, terserah pada individu. Untuk saya - dalam dunia kewartawanan hiburan. Untuk orang lain, mungkin dalam dunia sukan, dunia politik, apa sahaja.

(Korus)
HEI AWAS KUTERJAH, KITA MENERJAH
DI MANA KEADILANNYA, YEA YEA YEA
AWAS KU TERJAH, KITA MENERJAH
APAKAH CERITANYA.


KAU SIAPA NAK HALANG BAYANG-BAYANG
GARAM LUMAT SISANYA DAH KUTELAN

Dalam menegakkan visi atau sesuatu pembaharuan ke arah yang lebih baik, pasti ada sahaja pihak yang membangkang / menentang. Usah pedulikan mereka, teruskan visi, jika kita tahu nawaitu dan hala tuju kita berdasarkan pengalaman kita sekian lama dalam bidang itu.

MEMANG KAU GILA MIMPI TAWAN DUNIA

Anggap saja penghalang / penentang itu seorang yang bodoh sombong, sentiasa anggap diri mereka betul & enggan menerima pembaharuan, peredaran zaman, anjakan pemikiran, atau pandangan baik dari orang lain.

DALAM LEMBUT KAU PINCANGKAN TANPA NYAWA

Golongan orang seperti itulah yang sebenarnya menghancurkan keadaan sehingga melemahkan semangat kita untuk maju kehadapan. Akibatnya, kita kekal di takuk lama selamanya.

MAHU KUPAPAR SENSASI
PANAS! PENUH KONTROVERSI
WALAU KU MEMBAKAR DIRI.

Kajian membuktikan paparan berita sensasi, panas, kontroversi, terjah, dan seumpamanya jadi pilihan utama penonton Melodi berbanding paparan lain. Kerana itu yang mereka mahu, itulah yang saya paparkan, walau risikonya tinggi kepada saya sendiri. Antaranya, perlu berhadapan dengan amarah dan kutukan pihak lain yang berbeza haluan & pandangan. Kesabaran amat perlu. Moga kebenaran terungkai jua suatu ketika nanti.

video